Kuantan, 5 September 2009 -Pusat Pembelajaran Pahang, Mentakab dan IPTAA Lipis mengalu-alukan kedatangan pelajar baru kumpulan Open Market dan SMP Kohort 6 ke sesi pendaftaran Semester September 2009 yang telah diadakan di Kuantan. Seramai sejumlah 170 orang pelajar baru telah mendaftar pada hari tersebut. Selepas pendaftaran, pelajar terus diberikan taklimat dan Bengkel Kemahiran Belajar untuk memastikan pelajar baru mendapat maklumat khususnya mengenai portal OUM, Digital Library dan persediaan menghadapi sistem pembelajaran terbuka dan jarak jauh.
Diucapkan selamat maju jaya kepada semua, dan didoakan semoga semuanya berjalan lancar serta dapat meneruskan pengajian masing-masing dengan jayanya sehingga tamat.
Kuantan 8 September – Satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di rumah anak-anak yatim Permata Camar telah berlangsung dalam keadaan serba sederhana tetapi penuh bermakna. Majlis anjuran bersama Pusat Pembelajaran Pahang dan Alumni OUM Chapter Pahang telah dihadiri seramai kira-kira 70 orang yang terdiri daripada penghuni asrama, kakitangan asrama, ahli Alumni OUM, dan staf di Pusat Pembelajaran Pahang. Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil Badan Nadwah Pahang, iaitu Pertubuhan Bukan Kerajaan yang menjadi badan induk yang menguruskan rumah tersebut.
Sumbangan yang disampaikan adalah berbentuk duit raya, makanan ringan dan bahan-bahan keperluan harian untuk dimasak seperti minyak masak, susu, sardin, beras, milo makanan dalam tin dan sebagainya. Selain itu, cek sebanyak RM2000 turut disampaikan bagi tabung pembinaan sebuah bangunan asrama yang lebih selesa. Sumbangan-sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Pembelajaran Pahang, Ahmad Izanee Awang. Segala sumbangan yang disampaikan adalah hasil kutipan daripada pelajar, tutor dan staf di Pusat-pusat Pembelajaran Pahang, Mentakab dan IPTAA Lipis.
Dalam ucapan ringkasnya, Ahmad Izanee berharap walaupun sumbangan yang diberikan adalah sedikit, namun yang penting adalah keikhlasan daripada seluruh warga OUM yang menyumbang dan diharap mendapat keberkatan dari Allah SWT lebih-lebih lagi bersempena bulan Ramadhan AlMubarak ini. “Ia juga menunjukkan bahawa di luar sana, ramai orang yang prihatin dengan nasib anak-anak di sini”, ujar beliau. Terdapat seramai 30 orang anak-anak yatim yang tinggal di rumah tersebut. Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah En Tan Seng Bee selaku Presiden Alumni OUM Chapter Pahang.
Musim peperiksaan akhir semester Mei 2009 yang berlangsung pada 13 Julai hingga 4 Ogos yang lalu memberi cabaran yang besar terutamanya kepada seluruh pelajar di Pusat Pembelajaran Pahang. Ia bukan kerana debaran untuk memastikan jawapan terbaik dipersembahkan terhadap segala soalan yang keluar dalam peperiksaan, tetapi arahan pemakaian topeng muka oleh Kementarian Kesihatan Malaysia ekoran penularan virus selsema babi (H1N1) yang melanda seluruh dunia akhir-akhir ini. Dewan Peperiksaan yang menempatkan calon-calon dari PP Pahang terlibat secara langsung ekoran arahan ini disebabkan ia merupakan sebahagian daripada bangunan kampus kolej yang diarahkan tutup operasi selama 10 hari. Ia kerana beberapa orang pelajarnya didapati positif menghidap H1N1. Ekoran itu, pihak pengurusan OUM turut mengarahkan semua calon yang menduduki peperiksaan supaya memakai topeng muka sepanjang waktu berada di dalam kawasan kolej berkenaan termasuk di dewan peperiksaan. Keadaan ini menimbulkan sedikit ketidakselesaan di kalangan calon yang menduduki peperiksaan. Namun setiap calon terpaksa akur dan peraturan tetap dipatuhi demi menjaga kesihatan dan mengelak daripada sebarang kemungkinan jangkitan virus berbahaya yang boleh menyebabkan kematian ini. Bagaimanapun diharapkan agar keadaan ini tidak menjejaskan prestasi calon yang terlibat.
ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA, SAYA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA SELURUH WARGA BARU OUM AMBILAN SESI MEI 2009 KHUSUSNYA DI PP PAHANG. SAYA BERDOA SEMOGA SDRA/SDRI AKAN TERUS GIGIH DAN ISTIQAMAH DALAM MENERUSKAN PERJUANGAN UNTUK MEMAJUKAN DIRI DALAM BIDANG MASING-MASING BERSAMA OUM. SAYA BERSAMA SEMUA STAF DI PP PAHANG DAN MENTAKAB BERSEDIA MEMBANTU SDRA/SDRI DALAM MENCAPAI HASRAT MURNI ITU. SEKIRANYA ADA APA-APA PERTOLONGAN YANG DIPERLUKAN, DIHARAP DAPAT BERHUBUNG DENGAN MANA-MANA STAF YANG ADA. SEKIAN, DIUCAPKAN SELAMAT MAJU JAYA.
Dimaklumkan bahawa Sdra Hisham Bin Mat Nor, Pentabir/Eksekutif di Pusat Pembelajaran Mentakab telah meletak jawatan mulai 10 Jan 2009 yang lalu. Sesungguhnya perletakan jawatan beliau merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada seluruh warga PP Pahang khususnya Mentakab, malah juga kepada OUM secara keseluruhan. Didoakan semoga beliau akan terus berjaya dalam apa jua bidang kerjaya yang bakal diceburi beliau di masa akan datang.
Seluruh warga Pengurusan PP Pahang dan Mentakab mengucapkan selamat tinggal 2008 dan Selamat Datang Tahun Baru 2009. Semoga kedatangan tahun baru 2009 membawa bersamanya keberkatan, rezeki yang melimpah ruah, semangat dan iltizam yang lebih cemerlang.