Staf di Pusat Pembelajaran Pahang

Staf di Pusat Pembelajaran Pahang

Friday, February 26, 2010

Peperiksaan Pertengahan Semester

Peperiksaan Pertengahan Semester Peperiksaan Pertengahan Semester Peperiksaan Pertengahan Semester Peperiksaan Pertengahan Semester Peperiksaan Pertengahan Semester Jan 2010
SELAMAT MAJU JAYA!!!!!
12 hingga 16 Mac 2010
Sila rujuk jadual

Selamat Menyambut Maulidur-Rasul

Sama-samalah kita menyambut ulangtahun keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan penuh keinsafan dan berusaha menjadikan akhlak Rasulullah sebagai ikutan dan amalan kita semua. Sesungguhnya Baginda SAW telah membentangkan kepada kita umat manusia petunjuk dan pedoman agar menyeru ke arah kebaikan serta menolak kemungkaran - "uswatun hasanah".

Monday, February 22, 2010

Rumah Terbuka Presiden Alumni Chapter Pahang

Pengunjung sedang menikmati hidangan yang disediakan






Untuk diabadikan dalam kenangan

Kuantan, 22 Feb. 2010 - Presiden Alumni OUM Chapter Pahang, En Tan Seng Bee telah mengadakan jamuan Rumah Terbuka di kediamannya di Kuantan bersempena Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Jamuan tersebut khusus diadakan untuk rakan-rakan dan jiran terdekat serta ahli-ahli jawatankuasa Alumni Chapter Pahang serta ahli keluarga.

Pelbagai juadah enak telah dihidangkan seperti nasi minyak, nasi dagang, nasi lemak, kuih muih Melayu, dan bermacam lagi makanan untuk para tetamu. Buah limau Mandarin yang menjadi tradisi setiap kali sambutan Tahun Baru Cina turut disediakan. Menurut En Adnan Che Harun, salah seorang AJK, beliau serta keluarga amat gembira dan menghargai persahabatan yang terjalin serta kesudian En Tan sekeluarga mengadakan jamuan rumahterbuka tersebut. Kegembiraan tersebut turut dikongsi oleh En Kamarul Azlan yang tidak pernah terkecuali dalam aktiviti-aktiviti anjuran Alumni Chapter Pahang.

Sebagai tanda penghargaan, En Ali Zainal telah menyumbang khemah syarikatnya untuk dijadikan tempat berteduh bagi jamuan yang diadakan itu.

Semoga semangat kekeluargaan seperti itu akan terus subur dan diteruskan di masa akan datang.







Monday, February 15, 2010

Harapan dan Kenyataan

Keputusan peperiksaan Semester September 2009 baru sahaja diumumkan. ”Tak sangka sampai begitu teruk”, ”terkejut besar”, ”tak nampak jalan”, ”macam mana boleh jadi?” dan sebagainya. Itu antara reaksi spontan yang diberikan oleh sebahagian daripada rakan-rakan pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang diumumkan baru-baru ini. Tidak kurang yang melahirkan rasa sangsi dan syak atas keputusan yang diperolehi. Apa tidaknya, ”tersasar jauh daripada apa yang diharapkan untuk dicapai”. Ramai juga yang berhasrat untuk memohon disemak semula jawapan bagi kertas peperiksaan akhir bagi kursus-kursus yang keputusannya ”sangat tidak disangka” itu.
Saya cuba menyelami hati dan perasaan rakan-rakan pelajar : berempati terhadap mereka. Bagi yang senior, sebelum ini sudah agak sebati dengan sistem penilaian di OUM – OLP, kerja kursus dan peperiksaan akhir. Faktor yang memungkinkan mereka sedikit sebanyak ”menjangka” keputusan yang bakal diperolehi bagi setiap semester. Ini kerana sebelum ini markah kerja kursus agak membantu dalam pencapaian gred bagi sesuatu kursus. Namun setelah OUM mengorak langkah ke arah sistem penilaian yang lebih konsisten bagi menilai pengetahuan sebenar pelajarnya melalui peperiksaan pertengahan semester dan peperiksaan akhir berasaskan soalan aneka pilihan, ”senario” tersebut telah agak berubah.
Para pelajar pada mulanya mengambil mudah terhadap sistem peperiksaan dengan soalan beraneka pilihan. Namun setelah dilaksanakan, ternyata sistem tersebut menimbulkan kesedaran bahawa soalan beraneka pilihan sebenarnya memerlukan ketajaman fikiran, pengetahuan yang spesifik terhadap sesuatu perkara, serta kebolehan mencerakinkan pilihan-pilihan jawapan yang diberikan dalam setiap soalan. Keadaan inilah yang nampaknya menyebabkan keputusan yang diperolehi sukar diramal malah mengejutkan.
Biar apapun yang diperolehi diharap tidak akan melemahkan semangat rakan-rakan pelajar sekelian. Yang lalu pasti berlalu. Sekiranya pencapaian yang diperolehi sebelum ini tidaklah sebaik yang diharapkan, setiap daripada saudara/saudari perlu menjadikannya iktibar dan pengajaran berguna. Saudara/saudari mesti ingat bahawa pengajian di peringkat universiti tidaklah semudah yang disangkakan. Walaupun sudah dewasa, kadang-kadang kita terlupa untuk menilai samada kesungguhan serta usaha yang dilakukan setimpal dengan keputusan yang diinginkan atau diharapkan.
Sepanjang pemerhatian dan berinteraksi dengan rakan-rakan pelajar di pusat pembelajaran, saya dapati komitmen yang kebanyakan saudara/saudari berikan terhadap kecemerlangan akademik adalah jauh berkurangan daripada yang sepatutnya. Cubalah nilai sendiri sebanyak mana masa yang diperuntukkan untuk mentelaah dan memahami kandungan modul, sejauh mana kemudahan OLP dimanfaatkan, serta setakat mana keutamaan yang diberikan untuk hadir ke sesi tutorial. Akhirnya saudara/saudari sendiri sahaja yang mampu memberikan jawapannya.
Hendaknya janganlah kita lupa dengan pesanan keramat yang diperturunkan semenjak zaman berzaman ”kalau tidak dipecahkan royong, masakan dapat sagunya”, ”hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, ”usang dibaharui, lapuk dikajangi”. Inilah masa untuk mendapatkan bimbingan serta panduan yang berguna daripada kemudahan yang disediakan seperti Kaunseling Akademik, e-kaunseling dan sebagainya. Selamat Maju Jaya.

Sunday, February 14, 2010

Gong Xi Fa Chai

Seluruh warga Pusat Pembelajaran Pahang mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan tutor, alumni, dan pelajar yang menyambut Tahun Baru Cina. Semoga tahun baru ini
akan membawa kemewahan dan keharmonian kepada semua.

Thursday, February 11, 2010

Antara impian dan kenyataan

Antara cabaran yang paling besar dihadapi oleh kebanyakan pelajar di OUM dalam mengejar impian untuk menamatkan pengajian dengan jayanya ialah bagaimana untuk menguruskan masa dengan berkesan. Ini kerana, berbeza dengan penuntut-penuntut IPT yang mengikuti program sepenuh masa, pelajar OUM tetap menanggung beban tugas hakiki serta komitmen-komitmen lain yang sedia ada. Kemudian, segala tanggungjawab tersebut ditambahi dengan tugas sebagai seorang pelajar yang juga perlu diberi keutamaan.
Sistem pembelajaran di OUM yang menawarkan kaedah pembelajaran teraduan yang terdiri daripada pembelajaran kendiri, tutorial bersemuka dan pembincangan atas talian sememangnya disediakan untuk memenuhi keperluan seorang pelajar yang mengikuti pengajian secara “terbuka dan jarak jauh”. Bagaimanapun atas sifat-sifat sebagai insan biasa, kadang-kadang kita tidak boleh lari dari kealpaan dan lemah semangat, lebih-lebih lagi apabila menghadapi cabaran untuk mengejar masa, kesukaran menguasai pembelajaran, cabaran kewangan atau masalah mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga.
Dari kacamata saya sebagai pentadbir di Pusat Pembelajaran, pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam pengajian mereka di OUM adalah mereka yang meletakkan sasaran yang jelas tentang apa yang ingin dicapai di akhir jangkamasa tertentu yang ditetapkan. Jika itu jelas, maka segala halangan yang muncul sepanjang pengajian pastinya dapat di atasi dengan mudah. Mereka yang berjaya juga mempunyai rangka kerja yang sistematik bukan hanya dalam urusan pembelajaran, malah juga menunjukkan kepekaan terhadap tindakan-tindakan yang perlu diselesaikan dalam setiap semester sepanjang pengajian mereka. Pelajar OUM yang berjaya sering tampil ke depan untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi. Rupa-rupanya hakikat ini selari dengan kenyataan Stephen Covey (1989) dalam bukunya yang masyhur, “The 7 Habits of Highly Effective People”. Beliau menyatakan antara tabiat berkesan yang ada pada orang yang berjaya ialah Be Proactive - Principles of Personal Choice, Begin with the End in Mind - Principles of Personal Vision dan Put First Things First - Principles of Integrity & Execution.
Jelasnya, walaupun ditimbuni dengan tanggungjawab lain yang perlu dipenuhi, manusia yang cemerlang sentiasa berupaya menyusun semula keutamaan berdasarkan situasi semasa serta apa yang ingin dicapai dalam hidupnya. Seringkali saya perhatikan, bagi yang kecundang dan menyerah kalah dalam perjalanan sebagai pelajar di OUM adalah yang tidak berupaya menyusun langkah yang efektif untuk mendepani segala cabaran dari hambatan masa. Mereka juga tidak dapat menyelesaikan masalah pembelajaran, serta tidak berupaya memfokuskan kepada pengajian mengatasi tarikan-tarikan lain yang menggamit.
Walhal di OUM, dengan kepakaran dan teknologi yang sedia ada, segala macam pentas tersedia yang boleh dimanfaatkan dan dikhususkan untuk membantu pelajar samada dalam hal-hal berkaitan akademik mahupun peribadi. Antaranya, inisiatif yang diaturkan oleh Pusat Pengurusan Pelajar seperti sesi kaunseling akademik, klinik peperiksaan, aplikasi kaunseling atas talian, dan e-customer management serta pusat perkhidmatan pelajar. Ini tidak termasuk penerbitan berkala seperti Learner Connexxions yang sentiasa mengutarakan pandangan, tips untuk pelajar, serta maklumat lain yang sangat berguna. Pokok pangkalnya adalah asalkan berkehendak.
Oleh yang demikian, bagi Saudara/saudari yang sudah memulakan langkah ke arah memajukan diri untuk mendapatkan ilmu di OUM, teruskanlah langkah berani ini. Jangan lupa pepatah keramat “alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan”. Janganlah hendaknya “umpan habis pancing putus, punca terlepas daripada tangan”.”Hemat pangkal kaya, rajin pangkal pandai”. Selamat maju jaya.

Tuesday, January 12, 2010

Selamat Datang Warga Baru PP Pahang







Kuantan 9 Jan 2010 - Kira-kira 100 orang telah mendaftar kemasukan ke Sesi Januari 2010 di Pusat Pembelajaran Pahang. Pada sesi yang bermula pukul 8.30 pagi tersebut, taklimat mengenai pengenalan OUM dan peraturan akademik telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Pembelajaran Pahang, En Ahmad Izanee Awang. Sebelum sesi pendaftaran dijalankan, satu siri Bengkel Kemahiran Belajar telah turut diberikan kepada pelajar di mana taklimat telah disampaikan oleh Tutor Kanan, Tn Hj Asrudin Abas dan Pn Suriani Sulaiman. Bengkel Kemahiran Belajar tersebut telah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pengurusan kendiri dan portal OUM.
Diucapkan selamat maju jaya kepada semua warga baru Pusat Pembelajaran Pahang dan Selamat datang ke OUM!