Staf di Pusat Pembelajaran Pahang

Staf di Pusat Pembelajaran Pahang

Thursday, February 11, 2010

Antara impian dan kenyataan

Antara cabaran yang paling besar dihadapi oleh kebanyakan pelajar di OUM dalam mengejar impian untuk menamatkan pengajian dengan jayanya ialah bagaimana untuk menguruskan masa dengan berkesan. Ini kerana, berbeza dengan penuntut-penuntut IPT yang mengikuti program sepenuh masa, pelajar OUM tetap menanggung beban tugas hakiki serta komitmen-komitmen lain yang sedia ada. Kemudian, segala tanggungjawab tersebut ditambahi dengan tugas sebagai seorang pelajar yang juga perlu diberi keutamaan.
Sistem pembelajaran di OUM yang menawarkan kaedah pembelajaran teraduan yang terdiri daripada pembelajaran kendiri, tutorial bersemuka dan pembincangan atas talian sememangnya disediakan untuk memenuhi keperluan seorang pelajar yang mengikuti pengajian secara “terbuka dan jarak jauh”. Bagaimanapun atas sifat-sifat sebagai insan biasa, kadang-kadang kita tidak boleh lari dari kealpaan dan lemah semangat, lebih-lebih lagi apabila menghadapi cabaran untuk mengejar masa, kesukaran menguasai pembelajaran, cabaran kewangan atau masalah mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga.
Dari kacamata saya sebagai pentadbir di Pusat Pembelajaran, pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam pengajian mereka di OUM adalah mereka yang meletakkan sasaran yang jelas tentang apa yang ingin dicapai di akhir jangkamasa tertentu yang ditetapkan. Jika itu jelas, maka segala halangan yang muncul sepanjang pengajian pastinya dapat di atasi dengan mudah. Mereka yang berjaya juga mempunyai rangka kerja yang sistematik bukan hanya dalam urusan pembelajaran, malah juga menunjukkan kepekaan terhadap tindakan-tindakan yang perlu diselesaikan dalam setiap semester sepanjang pengajian mereka. Pelajar OUM yang berjaya sering tampil ke depan untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi. Rupa-rupanya hakikat ini selari dengan kenyataan Stephen Covey (1989) dalam bukunya yang masyhur, “The 7 Habits of Highly Effective People”. Beliau menyatakan antara tabiat berkesan yang ada pada orang yang berjaya ialah Be Proactive - Principles of Personal Choice, Begin with the End in Mind - Principles of Personal Vision dan Put First Things First - Principles of Integrity & Execution.
Jelasnya, walaupun ditimbuni dengan tanggungjawab lain yang perlu dipenuhi, manusia yang cemerlang sentiasa berupaya menyusun semula keutamaan berdasarkan situasi semasa serta apa yang ingin dicapai dalam hidupnya. Seringkali saya perhatikan, bagi yang kecundang dan menyerah kalah dalam perjalanan sebagai pelajar di OUM adalah yang tidak berupaya menyusun langkah yang efektif untuk mendepani segala cabaran dari hambatan masa. Mereka juga tidak dapat menyelesaikan masalah pembelajaran, serta tidak berupaya memfokuskan kepada pengajian mengatasi tarikan-tarikan lain yang menggamit.
Walhal di OUM, dengan kepakaran dan teknologi yang sedia ada, segala macam pentas tersedia yang boleh dimanfaatkan dan dikhususkan untuk membantu pelajar samada dalam hal-hal berkaitan akademik mahupun peribadi. Antaranya, inisiatif yang diaturkan oleh Pusat Pengurusan Pelajar seperti sesi kaunseling akademik, klinik peperiksaan, aplikasi kaunseling atas talian, dan e-customer management serta pusat perkhidmatan pelajar. Ini tidak termasuk penerbitan berkala seperti Learner Connexxions yang sentiasa mengutarakan pandangan, tips untuk pelajar, serta maklumat lain yang sangat berguna. Pokok pangkalnya adalah asalkan berkehendak.
Oleh yang demikian, bagi Saudara/saudari yang sudah memulakan langkah ke arah memajukan diri untuk mendapatkan ilmu di OUM, teruskanlah langkah berani ini. Jangan lupa pepatah keramat “alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan”. Janganlah hendaknya “umpan habis pancing putus, punca terlepas daripada tangan”.”Hemat pangkal kaya, rajin pangkal pandai”. Selamat maju jaya.

1 comment:

sabriani said...

Ya Allah Ya Tuhanku, kuatkan semangat ku dalam menempuh alam pembelajaran semula selepas 30 tahun meninggalkan persekolahan.