Keputusan peperiksaan Semester September 2009 baru sahaja diumumkan. ”Tak sangka sampai begitu teruk”, ”terkejut besar”, ”tak nampak jalan”, ”macam mana boleh jadi?” dan sebagainya. Itu antara reaksi spontan yang diberikan oleh sebahagian daripada rakan-rakan pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang diumumkan baru-baru ini. Tidak kurang yang melahirkan rasa sangsi dan syak atas keputusan yang diperolehi. Apa tidaknya, ”tersasar jauh daripada apa yang diharapkan untuk dicapai”. Ramai juga yang berhasrat untuk memohon disemak semula jawapan bagi kertas peperiksaan akhir bagi kursus-kursus yang keputusannya ”sangat tidak disangka” itu.
Saya cuba menyelami hati dan perasaan rakan-rakan pelajar : berempati terhadap mereka. Bagi yang senior, sebelum ini sudah agak sebati dengan sistem penilaian di OUM – OLP, kerja kursus dan peperiksaan akhir. Faktor yang memungkinkan mereka sedikit sebanyak ”menjangka” keputusan yang bakal diperolehi bagi setiap semester. Ini kerana sebelum ini markah kerja kursus agak membantu dalam pencapaian gred bagi sesuatu kursus. Namun setelah OUM mengorak langkah ke arah sistem penilaian yang lebih konsisten bagi menilai pengetahuan sebenar pelajarnya melalui peperiksaan pertengahan semester dan peperiksaan akhir berasaskan soalan aneka pilihan, ”senario” tersebut telah agak berubah.
Para pelajar pada mulanya mengambil mudah terhadap sistem peperiksaan dengan soalan beraneka pilihan. Namun setelah dilaksanakan, ternyata sistem tersebut menimbulkan kesedaran bahawa soalan beraneka pilihan sebenarnya memerlukan ketajaman fikiran, pengetahuan yang spesifik terhadap sesuatu perkara, serta kebolehan mencerakinkan pilihan-pilihan jawapan yang diberikan dalam setiap soalan. Keadaan inilah yang nampaknya menyebabkan keputusan yang diperolehi sukar diramal malah mengejutkan.
Biar apapun yang diperolehi diharap tidak akan melemahkan semangat rakan-rakan pelajar sekelian. Yang lalu pasti berlalu. Sekiranya pencapaian yang diperolehi sebelum ini tidaklah sebaik yang diharapkan, setiap daripada saudara/saudari perlu menjadikannya iktibar dan pengajaran berguna. Saudara/saudari mesti ingat bahawa pengajian di peringkat universiti tidaklah semudah yang disangkakan. Walaupun sudah dewasa, kadang-kadang kita terlupa untuk menilai samada kesungguhan serta usaha yang dilakukan setimpal dengan keputusan yang diinginkan atau diharapkan.
Sepanjang pemerhatian dan berinteraksi dengan rakan-rakan pelajar di pusat pembelajaran, saya dapati komitmen yang kebanyakan saudara/saudari berikan terhadap kecemerlangan akademik adalah jauh berkurangan daripada yang sepatutnya. Cubalah nilai sendiri sebanyak mana masa yang diperuntukkan untuk mentelaah dan memahami kandungan modul, sejauh mana kemudahan OLP dimanfaatkan, serta setakat mana keutamaan yang diberikan untuk hadir ke sesi tutorial. Akhirnya saudara/saudari sendiri sahaja yang mampu memberikan jawapannya.
Hendaknya janganlah kita lupa dengan pesanan keramat yang diperturunkan semenjak zaman berzaman ”kalau tidak dipecahkan royong, masakan dapat sagunya”, ”hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, ”usang dibaharui, lapuk dikajangi”. Inilah masa untuk mendapatkan bimbingan serta panduan yang berguna daripada kemudahan yang disediakan seperti Kaunseling Akademik, e-kaunseling dan sebagainya. Selamat Maju Jaya.
No comments:
Post a Comment